Sabtu, Ogos 11, 2012

Menghayati Roh Ramadhan

Umat Islam memulakan sambutan hangat malam pertama bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dengan akur dan patuh kepada larangan baginda nabi صلى الله عليه وسلم daripada berpuasa pada hari terakhir bulan Syaaban. Ertinya, hendaklah puasa sunat di bulan Syaaban tidak bersambungan ke awal Ramadhan, bahkan wajib dipisahkan walau satu hari di antara dua puasa yang berlainan darjat itu. Mari meneliti kecantikan larangan baginda: 1) Agar diketahui oleh setiap yang beriman bahawa antara perkara sunat dan fardhu itu adalah jarak yang tak terukur, berpisahan antara kedua-duanya sehinggakan mereka dapat merasa dan mengesan betapa besarnya ibadah fardhu puasa di bulan Ramadhan. Ia tidak sama kesan, pahala dan kemanisannya berbanding puasa sunat. 2) Agar jumlah sempurna hari Ramadhan (29 atau 30) itu diketahui dan dilaksanakan sesempurnanya tanpa keliru dan samar. Apabila Allah telah menentukan masaNya yang tetap, maka pengurangan atau penambahan oleh manusia adalah tanda enggan, ingkar dan mempermainkan hak Allah. Justeru selang sehari antara dua jenis puasa yang berlainan itu adalah tanda ketaatan untuk tetap dan berhemnti pada setiap kalimah dan ayat Allah yang berfirman ke atas hambaNya. 3) Agar termeteri satu keseragaman yang indah di antara larangan berpuasa di hujung Syaaban dengan penantian anak bulan Ramadhan dengan larangan puasa di hari raya ‘Eidul Fitri, iaitu sebaik sempurna jumlah hari bulan Ramadhan dengan kehadiran anak bulan Syawaal. Maka semakin jelaslah kekuatan dan kemuliaan bulan Ramadhan yang diangkat tinggi darjatnya oleh Allah berbanding bulan-bulan yang lain.


zulianee@skpp14(1)