Selasa, Ogos 14, 2012

MALAM 7 LIKUR


Boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan umat Islam Malaysia mengistimewakan malam 27 likur. Malam ini ditandai dengan lampu minyak atau pelita yang dinyalakan di sekeliling rumah. Penduduk bandar tidak ketinggalan, hanya sahaja mereka tidak menggunakan lampu minyak. Sebaliknya mereka menggunakan lampu elektrik yang dinyalakan di pagar atau halaman rumah.

Malam 27 likur sinonim dengan malam 27 Ramadhan. Ramai yang mempercayai bahawa malam 27 Ramadhan adalah malam al-Qadar, atau lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar. Sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Dalam risalah yang ringkas ini penulis akan cuba memperkenalkan Lailatul Qadar kepada para pembaca sekalian berdasarkan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.


Keistimewaan Lailatul Qadar
Keistimewaan Lailatul Qadar jelas terserlah apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan sebuah surah yang khusus untuknya di dalam al-Qur’an. Surah tersebut dinamakan surah al-Qadar dan ia berbunyi:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (Lail) al-Qadar?
Malam (Lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril
dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya
pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
[al-Qadar 97:1-5]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa Dia menurunkan al-Qur’an al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan Lailatul Qadar. Dalam 365 hari, Allah telah memilih satu hari untuk menurunkan buku panduan kepada manusia, iaitu pada Lailatul Qadar. Lailatul Qadar ini letaknya adalah di dalam bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah dalam ayat yang lain:

Pada bulan Ramadhan yang diturun dalamnya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]

Keistimewaan seterusnya bagi Lailatul Qadar adalah ia lebih baik daripada seribu bulan. Jika dihitung, seribu bulan bersamaan dengan kehidupan selama 83 tahun dan 4 bulan. Ertinya satu malam ini lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ini adalah satu keistimewaan yang tiada tandingannya.

Keistimewaan ketiga bagi Lailatul Qadar adalah pada malam tersebut para malaikat termasuk malaikat Jibrail turun membawa ketetapan bagi segala urusan dalam kehidupan ini.[1] Hal ini dijelaskan lagi dalam ayat yang lain:

Haa, Miim. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam yang berkat;
(Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran.
(Kami menurunkan Al-Quran pada malam tersebut kerana) pada malam yang berkat itu,
dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku.
Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami. [al-Dukhan 44:1-5]

Beberapa alamat Lailatul Qadar
Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan tiga alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar:
1. Pada malam tersebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air.[8]
2. Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk.[9]
3. Pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik.[10]
Tiga alamat di atas adalah benar. Akan tetapi seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin Lailatul Qadar setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan alamat-alamat di atas. Ini kerana alamat-alamat di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza. Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki alamat sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki alamat suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, malam 27 mungkin disinari dengan bulan yang terbit seperti potongan bekas simpanan air manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua tiga alamat sekali gus.

Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadar bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus beramal dalam rangka mencari Lailatul Qadar.


zulianee@skpp14(1)